Saturday 30 November 2013

MEMAHAMI BIDANG LINGUISTIK

1.0 Pengenalan

Bahasa bukan sekadar lambang.Bahasa yang betul penting untuk komunikasi yang berkesan.Betapa pentingnya peranan bahasa dalam proses komunikasi itu dalam kehidupan manusia memang tidak perlu dijelaskan lagi. Ahli-ahli psikologi pula menganggap bahasa itu sebagai alat untuk melahirkan perasaan, menyampaikan ilmu, mencipta keindahan, menurunkan ilmu kebudayaan peradaban dan untuk berkomunikasi (Raja Mukhtaruddin Mohd Dain, 1982:29) dalam Abdul Hamid Mahmood (2012)
Dalam Kamarudin Husin (1986:4) ,Ferdinand de Saussure, seorang sarjana linguistik Swiss awal abad ke-20 menyatakan bahawa bahasa adalah satu sistem isyarat ( a system of signs) yang mempunyai bahagian terpenting berupa gabungan daripada erti dengan bayangan bunyi ( sound images ) dan kedua-duanya ( erti dan bayangan bunyi ) adalah bersifat psikologi.Menurut Asmah Omar (2010:1 ), sejak zaman dahulu lagi bahasa merupakan bahan kajian berbagai bidang ilmu, misalnya falsafah, psikologi, kesusasteraan,linguistik dan lain-lain. Ahli-ahli linguistik barat seperti de Saussure,Wilhelm von Humboldt, John Rupert, M.A.K Halliday dan Chomsky adalah antara golongan ilmuan yang terkemuka dalam mengkaji unsur-unsur yang terkandung dalam bahasa.
Tidak dapat disangkal lagi bahasa sebagai alat menjana ilmu telah membuktikan betapa penting peranannya dalam membentuk peradaban manusia.Masyarakat yang maju, berwibawa dan tinggi nilai intelektual dapat dilahirkan melalui bahasa.

2.0 Definisi Linguistik

Kata ‘Linguistik’ berasal dari kata latin lingua ‘ bahasa.’Verhaar (1985:1), Selain itu, perkataan linguistik juga boleh ditemukan dalam bahasa Perancis „Langue dan Langage‟, Itali „Lingua‟, Sepanyol „Lengua‟ dan Inggeris „Linguistics‟.Menurut Aitchison (1987:19) linguistik ialah ilmu yang bersifat saintifik.Linguistik sebagai penyelidikan yang sistematik tentang bahasa dan merumuskan teori-teori tentang bagaimana bahasa berfungsi.. Ferdinand de Sausure (1988), mendefinisikan linguistik sebagai kajian mengenai bahasa yang diucapkan oleh segolongan masyarakat . Menurut David Crystal (1991), linguistik ialah kajian bahasa secara saintifik. Verhaar (1993) menyatakan bahawa linguistik adalah suatu kajian ilmu bahasa. Beliau juga mengatakan bahawa perkataan „linguistik‟ sudah memberikan maksud kajian yang menyentuh sesuatu kajian bahasa boleh dilaksanakan. (Abdul Hamid Mahmood,2012)

Menurut Kamus Dewan (1993) perkataan linguistik diambil daripada perkataan Inggeris yang bererti pengajian ilmu bahasa. Menurut Abdul Hamid Mahmood(2012), ilmu linguistik ialah ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik iaitu ilmu yang mengkaji dan menganalisis satu-satu bahasa tertentu secara empirikal dan objektif, iaitu mengkaji bahasa itu seperti yang benar-benar wujud tanpa dipengaruhi oleh agak-agakan, ramalan, sentimen atau falsafah.Rumusannya bahawa ilmu linguistik adalah ilmu tentang bahasa dan cara bahasa berfungsi untuk membantu manusia mencapai pelbagai matlamat atau hasrat dalam menjalani kehidupan harian.(Zulkifley Hamid, 2006:2).Jelaslah bahawa linguistik merupakan ilmu bahasa yang memerlukan kajian yang empiric, objektif ,analitis dan saintifik.

3.0 Cabang-cabang ilmu linguistik

Hampir kesemua ilmu pengetahuan kebiasaannya akan terbahagi pula kepada beberapa cabang-cabang tertentu contohnya pengajian agama yang terbahagi kepada ilmu Ibadat, Tauhid, Alquran,Sirah dan lain-lain. Linguistik juga mempunyai cabang atau bidang pengajian yang berlainan seperti:
 Linguistik Deskriptif (Descriptive Linguistics)
 Linguistik Historis (Historical Linguisticsi)
 Linguistik Komparatif (Comparative Linguistics)
 Sosiolinguistik (Sociolinguistics)
 Neurolinguistik (Neurolinguistics)
 Linguistik Am (General Linguistics)
 Linguistik Terapan (Applied Linguistics)
 Psikolinguistik (Psycholinguistics)

3.1 Linguistik Umum / Am

Linguistik umum meliputi bidang topik yang luas sekali. . Bidang yang menjadi dasar iaitu fonetik dan fonologi ( struktur bunyi bahasa), morfologi ( struktur kata ), sintaksis ( struktur ayat ), semantik ( kajian makna). Pengetahuan yang lengkap tentang fonetik perlu bagi seseorang ahli bahasa. Malahan pengetahuan ini merupakan pengetahuan latar belakang asas untuk memahami linguistik berbanding bahagian-bahagian lain dalam kajian.

Linguistik Am membicarakan hal-hal tentang teori-teori kajian bahasa, kaedah-kaedah,
pendekatan-pendekatan atau model-model yang digunakan dalam kajian bahasa. Dalam Linguistik Am turut dihuraikan cara kajian bahasa dilakukan mengikut teori, kaedah dan pendekatan tradisional, kajian bahasa mengikut aliran struktur, teori dan kaedah kajian bahasa mengikut aliran transformasi generatif, relasional, fungsional dan seumpamanya. . ahli bahasa dapat mengkaji dan menghuraikan segala bahasa yang dituturkan oleh manusia di dunia seperti bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Thai, bahasa Jepun, bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Itali dan sebagainya.
Fonologi (fungsi bunyi), tatabahasa dan semantik (kajian makna) merupakan asas kajian bahasa (linguistik). Semantik terletak di luar fonologi dan tatabahasa oleh kerana hubungannya
yang rapat dengan dunia luar yang melibatkan hal-hal yang mujarad dan tafsiran. Dalam pada itu, semantik dapat juga dianggap bidang kajian yang khusus apabila bahasa itu dianggap terbentuk oleh unsur-unsur makna yang pengucapannya itu menjadi cara menyampaikan makna dan maksud dalam perhubungan. Kini kelihatan jelas bahawa semantik telah berdiri sebagai suatu disiplin yang berjalan seiring dengan linguistik.
semantik
sintaksis
morfologi
fonetik dan fonologi

3.2 Sosiolinguistik

3.2.1 Definisi

Sosiolinguistik yang juga dikenali sebagai linguistik antropologi atau linguistik
sosial ialah satu cabang linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa dan gejalanya dengan masyarakat. Menurut Dell Hymes (1966), Sosiolinguistik merupakan ilmu yang mengkaji bahasa daripada segi hubungan antara latar (setting), peserta (participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama sendiri (Nik Safiah Karim, 1981:4) dan Fishman (1968) pula menyatakan bahawa Sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji ciri-ciri variasi bahasa, ciri-ciri fungsi variasi-variasi ini dan ciri-ciri penutur yang menggunakannya apabila ketiga-tiga unsur ini berinteraksi, berubah dan mengubah satu sama lain dalam sesuatu masyarakat bahasa.

3.2.2 Aspek Kajian

Sosiolinguistik merupakan satu disipin ilmu yang sangat luas dan pelbagai meliputi bermacam-macam perkara seperti :
 fungsi dan peranan bahasa contohnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.
 penerimaan istilah contohnya bilingualism, multilingualism,dialek dan ideolek
 sikap terhadap bahasa contohnya criteria dan persepsi kesantunan berbahasa
 sistem panggilan dalam masyarakat contohnya penggunaan kata ganti nama,panggilan dan juga gelaran yang ditinjau dari perpaduan dan jarak sosial antara penutur

3.3 Psikolinguistik

3.3.1 Definisi

Psikolinguistik atau psikologi bahasa ialah kajian faktor-faktor psikologi dan neorobiologi yang membolehkan manusia, memperoleh, menggunakan dan memahami bahasa. Maksudnya, Psikolinguistik menganalisis jenis-jenis,bentuk-bentuk bahasa dan perkataan-perkataan yang digunakan oleh penutur dan hubungannya dengan fikiran dan jiwa penutur itu. Robert Lado, seorang ahli dalam bidang pengajaran bahasa mengatakan bahawa Psikolinguistik ialah pendekatan gabungan melalui psikologi dan linguistik bagi menelaah Ilmu pengetahuan bahasa, bahasa dalam pemakaian, perubahan bahasa dan hal-hal yang ada kaitannya dengan itu yang tidak begitu mudah dicapai atau didekati melalui salah satu dari kedua ilmu tersebut secara terpisah atau sendiri-sendiri”(Lado, 1976:220).Mangantar Simanjuntak (1986) dalam Zulkifley Hamid (2006) menakrifkan psikologi adalah gabungan dua patah kata iaitu ‘Psikologi dan ‘Linguistik yang merupakan dua disiplin yang berlainan dan berdiri sendiri.

3.3.2 Aspek Kajian

Aitchison (1987) telah menggariskan secara umum aspek-aspek yang diliputi oleh kajian-kajian yang dilakukan dalam bidang psikolinguistik. Antaranya ialah
o Aspek-aspek yang berkaitan dengan pemerolehan pengetahuan bahasa pertama atau bahasa ibunda
o Proses pemahaman input-input bahasa
o Aspek –aspek yanag berkaitan dengan ingatan dan penyimpanan maklumat-maklumat dan pengetahuan bahasa.
o Penguasaan bahasa kanak-kanak dan mengkaji proses akal kanak-kanak
dalam memahami, mengingat dan melahirkan kembali bentuk-bentuk bahasa dalam pertuturan.

4.0 Definisi fonetik

Kamus Linguistik (Harimurti Kridalaksana, 1984) memberikan definisi fonetik sebagai “ilmu yang menyelidiki penghasilan,penyampaian dan penerimaan bunyi bahasa.Raminah Haji Sabran (1984) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa Untuk Pelatih Maktab Perguruan menyatakan bahawa fonetik ialah kajian tentang fenomena bunyi atau pertuturan manusia sejagat..Manakala mengikut pendapat Dr.Lufti Abas (1985) fonetik boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa,mahupun bunyi-bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi. ”. Abdullah Hassan (1993) memberikan definisi fonetik sebagai“fonetik mengkaji bunyi bahasa dari segi penyebutan pendengaran atau sifatnya ... Fonetik amnya ialah pengkajian terhadap unsur-unsur dalam bentuk bunyi”.
Menurut Arbak Othman (2004),Fonetik ialah bidang linguistik yang mengkaji tentang fon atau bunyi bahasa Sebagai ilmu, fonetik berusaha menemukan kebenaran-kebenaran umum dan memfomulasikan hukum-hukum umum tentang bunyi-bunyi itu dan pengucapannya, manakala sebagai kemahiran, fonetik memakai data deskriptif dasar daripada fonetik ilmiah bagi memberi kemungkinan pengenalan dan pengucapan bunyi-bunyi ujar itu Menurut Kamus Dewan (2005), “fonetik ialah ilmu bahasa (linguistik) yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya.Menurut Inderawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) menyatakan fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia iaitu bunyi yang digunakan sebagai alat komunikasi.
Berdasarkan definisi yang telah dikemukakan oleh ahli linguistik silam dan moden mengenai ilmu fonetik dirumuskan bahawa fonetik ialah satu kajian yang menganalisis bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia dari segi cara pengeluarannya, daerah pengeluarannya dan sifat fizikalnya.

4.1 Bidang fonetik

Bagi mengkaji fonetik, terdapat tiga pendekatan yang sering digunakan iaitu fonetik artikulasi, fonetik auditori dan fonetik akustik.

i. Fonetik Artikulasi

Fonetik artikulasi ialah satu bidang kajian mengenai cara kita menggunakan alat dan daerah artikulasi untuk bertutur. Ini adalah kaedah yang baik bagi menghasilkan deskripsi yang memuaskan untuk tujuan mengajar bahasa. Pendeskripsian ini melibatkan daerah dan organ artikulasi yang berfungsi melafazkan bunyi-bunyi dalam bahasa. Daerah artikulasi ialah bahagian saluran suara yang tidak bergerak tetapi disentuh oleh organ artikulasi sewaktu berlakunya sesuatu lafaz. Manakala organ artikulasi pula ialah organ ujaran dalam saluran suara yang terlibat dalam pengeluaran bunyi bahasa.
Organ artikulasi terbahagi kepada artikulator aktif dan artikulator pasif. Organ artikulator aktif ialah organ dalam saluran suara yang bergerak seperti lidah, bibir, lelangit lembut dan gigi bawah. Manakala organ artikulator pasif ialah organ dalam saluran suara yang tidak bergerak seperti lelangit keras dan gigi atas. Kajian ini melibatkan produksi bunyi tuturan oleh organ vokal manusia, iaitu cara penutur menghasilkan bunyi dengan menggunakan organ tuturan bagi menghasilkan bunyi yang digunakan dalam tuturan, dan cara bunyi tersebut diklasifikasikan dan dideskripsikan. Dengan mendeskripsi cara bunyi bahasa dihasilkan, kita dapat memahami bagaimana bunyi bahasa disebut atau dituturkan.
Apabila membuat deskripsi bunyi dari segi penyebutan atau artikulasi, kita mendeskripsi bunyi-bunyi sebagaisengau, letupan, geseran dan sebagainya. Kita membuat penggolongan terhadap pendengaran dan tidak semata-mata sebutan.
Selain itu, kajian fonetik juga menggunakan alat. Antara alat-alat tersebut ialah palatogram, laringoskopi dan letromiografi. Dengan menggunkan alat ini, ahli fonetik dapat menentukan alat, kedudukan lidah, bahagian lelangit keras yang terlibat dalam mengujarkan sesuatu bunyi.

ii. Fonetik Auditori

Fonetik auditori ialah pendekatan mengkaji bunyi melalui pendengaran, iaitu membuat deskripsi bunyi yang didengar. Proses yang terlibat dinamakan sebagai mendekod, iaitu melibatkan pendengar. Penutur menukarkan maklumat yang hendak disampaikan dalam bentuk kod-kod tertentu seperti bunyi, kata dan ayat. Manakala pendengar pula mentafsirkan maklumat ini dalam fikiran untuk menjadikannya sebagai sesuatu yang bermakna dalam komunikasi yang berlaku. Melalui pendengaran, bunyi dideskripsikan sebagai kasar, garuk, halus, nyaring, lantang, lunak dan sebagainya.
Pandangan pendengar terhadap ujaran yang terlafaz melibatkan unsur kelangsingan, kelantangan dan kepanjangan yang secara sendirinya mempunyai makna emosi tertentu. Makna emosi tersebut pula dianggap sebagai suatu kod yang ditentukan oleh anggota masyarakat penutur sesuatu bahasa. Pendekatan ini memperhatikan pengaruh bunyi terhadap syarat pendengar yang dipengaruhi neurologi. Oleh kerana proses perolehan bunyi melalui syarat pendengar sukar dianalisis, maka pendekatan ini kurang digunakan.

iii. Fonetik Akustik

Fonetik akustik mengkaji sifat-sifat bunyi yang dilakukan dengan menganalisis bunyi yang dirakam dengan alat-alat yang persis. Ia merupakan kajian transmisi signal bunyi dari penutur kepada pendengar semasa komunikasi berlangsung. Melalui alat-alat yang sensitif, bunyi dapat dianalisis dari segi sifatnya. Teknik ini menganalisis gambar-gambar gelombang bunyi yang dirakam. Sifat-sifat bunyi seperti ukuran gelombangnya, kesengauan bunyi, daerah sebutan dan lain-lain mudah dilihat dalam gambar-gambar akustik atau spektogram. Kesemua perkataan yang terlafaz dari si penutur mempunyai objektif komunikasi yang tersendiri. Namun, norma-norma maknanya hanya akan ditentukan oleh masyarakat yang mendengar dan mengalami situasi tersebut. Penyataan ini diperkukuh dengan memetik kata-kata sarjana terkenal Couper-Kuhlen (1986:116). Kecanggihan teknologi komputer telah membuatkan seorang Sarjana Belanda bernama Boersma, P. dan David Weenink (1992) telah menghasilkan sebuah perisian komputer yang diberi nama “Praat” yang dapat mengukur elemen-elemen akustik seperti frekuensi fundamental (Fo dalam unit Hz), intensiti (dalam unit dB), dan durasi dalam unit saat. Dari sudut pendengar, ketiga-tiga parameter ini dipersepsikan masing-masing sebagai kelangsingan bunyi, kelantangan suara dan kepanjangan. Ketiga-tiga parameter ini juga dikenal sebagai signal akustik.

5.0 Definisi fonologi

Kamus Linguistik (Harimurti Kridalaksana, 1984:61) memberikan definisi fonologi sebagai bidang dalam linguistik yang menyelidiki bunyi-bunyi bahasa mengikut fungsinya. Menurut Kamus Dewan, fonologi merupakan kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa (1996:354). Dalam Merriam Webster‟s College Dictionanry tenth edition (1996:874) fonologi dihuraikan sebagai “the science of speech sounds including, especially the history and theory of sound changes in a language or in two or more related languages”.
Fonologi menurut Adrian Akmajian dalam bukunya Linguistik:Pengantar Bahasa dan Komunikasi yang diterjemahkan oleh Aishah Mahdi dan Azizah Hussien memberi pengertian seperti berikut “ Fonologi ialah subbidang linguistik yang mengkaji struktur dan pemolaan sistematik bunyi dalam bahasa manusia. Istilah fonologi digunakan dalam dua cara, dari satu segi fonologi ialah sesuatu bahasa tertentu dan rumus yang mengawal penyebaran bunyi tersebut. Dari segi lain pula, dirujuk sebagai tentang bahasa manusia yang umum yang berkaitan dengan sifat universal system bunyi semulajadi ”.(1995:112) Fonologi menurut pandangan majoriti ahli linguistik ialah satu ilmu yang digunakan untuk mengkaji peraturan percakapan bagi bahasa yang tertentu setelah menerangkan cara penggabungannya serta perceraiannya daripada apa yang terhasil melalui perkembangan sesuatu bahasa itu.

6.0 Matlamat pengajian fonetik dan fonologi

Fonetik ialah ilmu bahasa yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya. Fonetik mengkaji bunyi-bunyi bahasa yang dituturkan oleh manusia. Manakala Fonologi adalah satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa yang bermakna itu digunakan secara sistematik untuk membentuk kata atau ujaran.Oleh yang demikian beberapa matlamat atau objektif daripada pengajian fonetik dan fonologi yang hendak dicapai.Fonetik dan fonolpgi merupakan bidang yang saling melengkapi antara satu sama lain.Secara umumnya seseorangperlu menguasai bidang fonetik sebelum memahami bidang fonologi. Setelah mendalami ilmu fonetik dan fonologi,seseorang akan memperoleh
 Pengetahuan tentang ilmu fonetik dan fonologi bahasa Melayu untuk di aplikasikan secara praktik
 Mengetahui dan memahami tentang bunyi bahasa dan bukan bunyi bahasa
 Memberi pemahaman tentang lambang-lambang fonetik sejagat dengan penekanan khusus terhadap bunyi-bunyi bahasa Melayu.
 Mengetahui dengan lebih jelas bagaimana bunyi-bunyi bahasa dihasilkan dan dituturkan serta mengenali alat-alat artikulasi yang berfungsi dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa
 Mempelajari ilmu fonetik dan fonologi amat penting kerana menerusinya kita dapat bertutur dengan sempurna dan dapat memelihara lidah daripada tersalah sebutan.
 Membolehkan seseorang pendidik mengenali pelbagai variasi bahasa yang dituturkan oleh murid bagi membetulkan kesilapan dengan tepat

No comments: