Monday 3 June 2013

MODEL PENGAJARAN ASSURE


MODUL ASSURE
APLIKASI DALAM RANCANGAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN HARIAN

1.0 PENGENALAN

Pengajaran merupakan satu sistem aktiviti-aktiviti yang ditujui kepada murid-murid
dengan tujuan membawa perubahan-perubahan tingkah laku di kalangan mereka. Menurut
Highet,G (1968),pengertian pengajaran adalah tidak lengkap jika ia dianggap sebagai sains
sahaja. Sebaliknya,pengajaran boleh dianggap sebagai satu seni kerana ia melibatkan emosi
dan nilai-nilai manusia.Profesor Elliot Eisner di Standford Universiti, California, misalnya
mengkaji pentingnya ‘pendidikan seni’ untuk dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah supaya
pendidikan di sekolah lebih seimbang dan memperkayakan pemikiran murid. Menurut Yaxley
B.G. (1991)Pengajaran merupakan aktiviti intelek di mana suatu tindakan bertujuan untuk
membawa perubahan dari segi kepercayaa nilai dan makna.
Oleh yang demikian,guru yang berpengalaman, kreatif, dan cekap mempunyai seni atau
gaya pengajarannya yang tersendiri berupaya untuk mengajar pelbagai mata pelajaran kepada
pelbagai jenis murid.
Pembelajaran pula merupakan perubahan tingkah laku yang kekal serta berterusan, dan
dapat dilihat kesan perubahannya.Pembelajaran sebarang mata pelajaran sekolah merupakan
satu proses yang aktif, kreatif, dan konstruktif (Noddings,1990).Pembelajaran juga dikatakan
telah berlaku apabila seseorang individu telah berjaya mengaitkan pengetahuan baru dengan
pengetahuan sedia ada (Ee Ah Meng,1994). Menurut Gagne, proses pembelajaran terdiri
daripada beberapa fasa, iaitu motivasi/perhatian, jangkaan, perolehan ingatan kembali,
pemilihan persepsi, mengkod dan penyimpanan jangka panjang, gerak balas.
Proses pengajaran adalah kompleks, malah lebih kompleks daripada yang disedari.Ia
mencakupi pelbagai aspek dan fungsi yang saling berkaitan dan mestilah bertindak secara
bersama agar mencapai kejayaan. Pelbagai kaedah, gaya dan teknik pengajaran digunakan
untuk menghasilkan pembelajaran murid sebagaimana yang dituntut oleh masyarakat dan
negara.Banyak kajian telah dibuat untuk mengkaji bagaimana kaedah pengajaran boleh
dirancang dan direka bentuk untuk memberi kesan yang optimum kepada pembelajaran murid.
Pakar-pakar mengkaji proses dan hasil pengajaran dengan lebih sistematik dengan
melihatnya dalam bentuk model.


1.1. Model Pengajaran

Model pengajaran merupakan rangka kerja untuk melaksanakan pengajaran
menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang disusun atur untuk mencapai objektif
atau hasil pembelajaran.Model pengajaran boleh menjadi alat yang berkesan untuk merancang
proses perkembangan pengajaran daripada unit-unit kecil menjadi satu konsep keseluruhan
atau daripada yang mudah kepada kompleks.Model-model ini dipengaruhi oleh pelbagai disiplin
ilmu seperti psikologi pendidikan, psikologi sosial dan komunikasi, serta sosiologi
pendidikan.Menurut C.M Charles, psikologi boleh didefinisikan sebagai kajian tentang tingkah
laku. Dapatan-dapatan daripada kajian-kajian tersebut dapat digunakan untuk meningkatkan
lagi pembelajaran dan pengajaran.Crow dan Crow pula mentakrifkan psikologi sebagai kajian
tingkah laku dan perhubungan manusia. Tingkah laku ini bukan sahaja merujuk kepada tingkah
laku yang boleh dilihat tetapi merangkumi juga tindak balasnya terhadap pengaruh keadaan
batinnya, serta pengaruh alam sekitarnya (seperti orang lain, benda atau satu-satu situasi).
Terdapat tiga aliran ilmu psikologi yang utama mempengaruhi pendekatan membina
kurikulum dan pengajaran iaitu aliran psikologi behaviourisme, aliran psikologi kognitif, yang
lebih dikenali sebagai mazhab konstruktivisme dan aliran psikologi sosial.
Aliran Psikologi Behaviourisme
Pendekatan behaviourisme adalah dipelopori oleh John.B. Watson di Universiti John Hopkins,
Amerika Syarikat pada tahun 1913.Teori-teori psikologi behaviourisme memberi perhatian dan
mengkaji tingkah laku manusia, kerana tingkah laku manusia boleh dilihat dan diukur.Menurut
pendekatan ini, tingkah laku boleh diperhatikan, dikawal dan diramal. Teori ini juga menegaskan
pentingnya pengukuhan melalui ganjaran untuk merangsang dan mempengaruhi apa dan
bagaimana manusia melakukan sesuatu, termasuk bagaimana murid belajar.
Selain daripada J.B. Watson, ahli-ahli psikologi behaviourisme yang lain ialah B.F. Skinner, I.P.
Pavlov dan E.L. Thorndike.Berdasarkan teori ini, Skinner terkenal dengan pelaziman operasi
yang mengukur ganjaran dan dendaan.Skinner telah mereka bentuk pendekatan dan
rancangan pengajaran yang terancang dinamakan 'programmed instruction'.

Aliran Psikologi Kognitif:Konstruktivisme
Aliran psikologi kognitif lebih menekankan perkembangan corak pemikiran manusia, cara ia
berfikir dan membentuk makna, berbanding dengan aliran behaviourisme yang lebih
menekankan tingkah laku manusia.Ahli-ahli psikologi kognitif menekankan bahawa kita
bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif. Sebaliknya otak kita secara aktif akan
memproses maklumat yang diterimanya dan menukarkan kepada bentuk-bentuk serta kategorikategori
baru. Ahli psikologi kognitif yang terkenal ialah Brunner, Ausubel,Jean Piaget dan John
Dewey.
Aliran Psikologi Sosial
Psikologi sosial memberi tumpuan kepada kesan perkembangan pemikiran dan sosio emosi
individu apabila ia berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain, samada secara berdua
atau secara kumpulan.Albert Bandura, menegaskan bahawa pembelajaran manusia berlaku
dengan cara memerhatikan orang lain melakukan sesuatu.Bandura memeprkenalkan Teori
Perlakuan Model.Seseorang banyak belajar dari peranannya dalam sesuatu kumpulan: dalam
keluarga, rakan sebaya,kumpulan dalam kelas atau ko-kurikulum.Melalui aktiviti perbincangan,
ia memahami orang lain, meniru orang lain,dari pelbagai aspek.
Berdasarkan tiga aliran psikologi tersebut maka terbentuklah beberapa model pengajaran
seperti Model Tyler,Model Masteri,Model Inkuiri dan Model ASSURE.Yusuf Hashim (2006)
menyatakan bahawa model ASSURE ini sangat meluas digunakan oleh guru-guru untuk
merancang pengajaran pembelajaran secara sistematik.

1.2. Model Pengajaran ASSURE

Model ini berasaskan buku Robert Gagne, Events Of Instruction (1992).Heinich,
Molenda, Russell, Smaldino (1999) telah mengemukakan satu model yang boleh digunakan
oleh guru untuk merancang pengajaran.Untuk menghasilkan sebuah perancangan pelajaran
seorang guru perlu menentukan :
i. Objektif khas yang eksplisit, atau hasil pembelajaran yang spesifik, boleh dicapai, boleh
diukur, dan boleh dilaksanakan dalam lingkungan masa yang ditetapkan mengikut aras -aras
tertentu.
ii. Kemahiran, pengetahuan, dan sikap yang ingin dibentuk
iii. Bahan dan strategi yang akan digunakan.
iv. Penstukturan, turutan, penyampaian, pengukuhan, dan pengayaan isi kandungan.
v. Kaedah penilaian menjurus kepada pencapaian hasil pembelajaran.
Model ASSURE merupakan satu proses perancangan yang telah diubah suai untuk
membolehkan guru mereka bentuk dan membina persekitaran yang sesuai dengan
kumpulan murid yang menjadi sasaran seperti yang dikehendaki oleh syarat-syarat di
atas.
Model ASSURE telah menggabungkan garis panduan langkah-langkah pelajaran dan
hubungannya dengan proses kognitif yang dikemukakan oleh Robert Gagne untuk memastikan
berlakunya pembelajaran berkesan.
ASSURE merupakan akronim atau 'neumonik' daripada beberapa perkataan iaitu:
A Analyze Learners: menganalisa kesediaan dan gaya pembelajaran murid.
S State Objectives : menyatakan objektif atau hasil pembelajaran.
S Select Methods : memilih kaedah,media dan bahan pengajaran pembelajaran.
U Utilize Media :menggunakan media dan bahan sumber.
R Require Learner : tindak balas pelajar.
E Evaluate and Revise : menilai hasil pembelajaran dan menyemak semula bahan.
Menurut Smaldino, Russel, Heinich dan Molenda (2005), model ini merupakan prosedur
atau panduan untuk merancang dan menguruskan sesuatu courseware yang mengambil kira
media dan teknologi. Kesimpulannya, model ini menitik beratkan pembinaan rancangan
pengajaran yang sesuai di bilik darjah.Walau bagaimanapun, apakah rasionalnya model
ASSURE ini?

1.3. Rasional Perlaksanaan Langkah-langkah Model ASSURE

1.3.1 Analyze Learners( menganalisa kesediaan dan gaya pembelajaran murid.)

Langkah pertama Modul ASSURE ialah menganalisis murid. Asasnya, sebelum
rancangan pengajaran dibina guru harus mengenal pasti murid sama ada dari segi umur, latar
belakang sosioekonomi, kesediaan belajar, dan sebagainya. Kesediaan belajar membolehkan
murid menikmati pembelajaran dengan berkesan.
Aras pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid-murid
perlu diambil kira supaya rancangan pengajaran yang dibina mencapai objektifnya.
Contohnya,sekiranya guru ingin mengajar topik tentang destinasi pelancongan yang menarik di
Malaysia, guru perlu mengenal pasti latar belakang murid sama ada pernah melancong atau
tidak. Sekiranya murid tidak pernah pergi melancong, guru perlu menyediakan suatu alternatif
yang memberikan murid-murid pengalaman atau pengetahuan tersebut.Guru boleh
menayangkan video destinasi pelancongan untuk topik ini.Guru juga boleh meminta murid
mencari keratan-keratan akhbar mengenai tempat-tempat yang menarik.
Guru juga perlu membuat diagnosis terhadap gaya pembelajaran muridnya bagi
memastikan pengajaran pembelajaran berlaku dengan berkesan.Murid-murid dalam bilik darjah
memiliki gaya pembelajaran yang berbeza.Untuk memulakan teknik yang dirancang guru perlu
kenalpasti sama ada murid-murid dalam kelasnya mempunyai gaya pembelajaran yang
dominan dalam salah satu daripada tujuh kecenderungan gaya pembelajaran pelajar iaitu
linguistik,logical matematik,spatial,bodily kinesthetic,musical,interpersonal dan
interapersonal.Contohnya, guru kenalpasti beberapa orang muridnya cenderung kepada
interpersonal,maka murid ini akan dipilih oleh guru untuk menerajui perbincangan sama ada
dalam kumpulan atau secara berpasangan.
Pengajaran yang dimulai dengan perkara yang diketahui kepada yang belum diketahui
merupakan satu amalan pengajaran yang baik. Menurut Smaldino (2005): sekiranya guru dapat
mengetahui latar belakang murid dengan baik, guru berupaya menyampaikan isi pengajaran
dengan mudah dan menarik. Dengan demikian guru mampu mewujudkan suasana pengajaran
dan pembelajaran yang menyeronokkan di dalam bilik darjah.

1.3.2 State Objectives ( menyatakan objektif atau hasil pembelajaran.)

Langkah seterusnya adalah menentukan objektif atau hasil pembelajaran yang ingin
dicapai.Menurut Ee Ah Meng (1997),Objektif pengajaran pembelajaran menentukan arah dan
tahap pencapaian murid-murid dalam bilik darjah.Oleh itu,objektif yang dinyatakan oleh guru
mestilah realistik, iaitu tidak terlalu tinggi sehinggakan sukar untuk dicapai.Sebaliknya, objektif
yang terlalu rendah tahapnya tidak mendatangkan apa-apa cabaran kepada murid-murid.
Keadaan ini akan menyebabkan murid-murid berasa bosan dan gelisah.
Nicholson (1996) di dalam artikelnya menyatakan bahawa penetapan objektif bagi
sesuatu pengajaran amat perlu bagi memastikan keberkesanan semasa pengajaran dan
pembelajaran.Yusuf (2006) menyatakan objektif haruslah berdasarkan peringkat prestasi atau
hasilan yang ingin dicapai.
Contoh pernyataan objektif dalam topik pelancongan dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu, guru menetapkan setelah diberi penerangan, murid dapat menyatakan 4 cara untuk
menarik pelancong ke satu-satu destinasi pelancongan.Rasionalnya, objektif pengajaran amat
penting kerana ia memberi panduan kepada guru untuk melaksanakan aktiviti pengajaran
pembelajaran yang afektif dan sistematik.

1.3.3 Select Methods : memilih kaedah,media dan bahan pengajaran pembelajaran.

Kebelakangan ini,pengajaran tidak terhad kepada buku dan papan tulis sahaja,
sebaliknya memerlukan penggunaan segala media yang boleh merangsang murid untuk
mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan afektif.Oleh itu Model ASSURE
menyarankan langkah yang ketiga iaitu memilih kaedah dan media serta bahan pengajaran
yang sesuai.
Kaedah pengajaran
Guru perlu mengetahui semua kaedah yang wujud, dengan demikian guru dapat
memastikan kaedah pengajaran pembelajaran yang mana digunakan bersesuaian dan
mengikuti beberapa kriteria bagi menjamin keberkesanan kaedah tersebut.Kriteria tersebut
terdiri daripada:

*mengambil kira faktor kesediaan murid
*menggalakkan pemindahan pembelajaran
*mewujudkan motivasi
*mengekalkan ingatan
*meningkatkan pengamatan dan penanggapan
*menggalakkan pemikiran
*memupuk nilai dan sikap yang positif
Pengajaran dan pembelajaran perlu di rancang . Kemahiran guru merancang apa yang
akan di ajar di dalam kelas perlu dilakukan dengan memikirkan dan memilih kaedah yang
hendak digunakan agar ianya sesuai dengan tajuk yang hendak di ajar pada hari tersebut.
Pastikan hasil pembelajaran yang dinyatakan sesuai dengan latar belakang atau pengalaman
sedia ada pelajar.Pemberian fakta semata-mata dan bersifat sehala seperti teknik syarahan
merupakan cara tradisional di dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu
sediakan gerak kerja dan aktiviti yang sesuai untuk mengalakkan pelajar berfikir dan
menyelesaikan masalah yang diberikan.. Sesungguhnya,setiap pendekatan dan kaedah
pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan melalui pelbagai teknik pengajaran tertentu .
Dalam suatu pengajaran bahasa,guru kebiasaannya menggabungkan beberapa teknik
pengajaran agar dapat menghasilkan pengajaran bahasa yang berkesan.Contohnya,guru ingin
menyampaikan isi pelajaran bertajuk Kempen Keselamatan Jalan Raya kepada murid tahun 6.
Sebelum topik ini diajar, guru telah memilih teknik bersoal jawab untuk mencungkil pengetahuan
murid, kemudian guru menggunakan media tayangan video dan teknik penerangan, ianya
bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman dan kemahiran berbahasa murid dari aspek lisan
(mendengar, memahami dan bertutur), seterusnya guru menggunakan teknik perbincangan
kumpulan menggunakan media seperti kad arahan, kad tanda isyarat jalan , dan borang
pengurusan grafik.Teknik seterusnya ialah main peranan. Semasa aktiviti perbincangan dan
main peranan guru menggunakan teknik pembelajaran berpusatkan murid, dimana murid akan
menentukan sendiri pencapaian hasil pembelajaran mereka. Guru bertindak sebagai fasilitator.

1.3.4 Utilize Media(menggunakan media dan bahan sumber.)

Merujuk Model ASSURE, terdapat 5 prinsip bagi menggunakan media.Bagi memastikan
kejayaan penggunaan media dan bahan, sumber tindakan-tindakan berikut perlu dilakukan oleh
guru.
Semak/pratonton/kaji bahan sumber sebelum digunakan di dalam kelas.
Guru hendaklah mengkaji/menyemak/menonton bahan sumber yang telah dipilih sebelum
digunakan. Ini dapat membantu guru memastikan bahan tersebut benar-benar sesuai dengan
kumpulan murid, objektif pengajaran dan pembelajaran.Guru juga hendaklah memastikan
media yang akan digunakan tidak bermasalah.Mengenal pasti lokasi dan persekitaran yang
sesuai.Guru juga memastikan media yang digunakan mampu memberi pengalaman baru
kepada murid dan mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta menarik
minat.
Rasional menggunakan media dan bahan sumber jelas dinyatakan melalui kajian
(Pike,1989)Menambah visual kepada pelajaran dapat menambahkan daya ingatan daripada 14
kepada 38 peratus.Kajian juga menunjukkan ada peningkatan sehingga 200 peratus apabila
kosa kata diajar dengan menggunakan alat bantu pandang(gambar,video,slaid dan lain-lain)
Kesimpulannya, penggunaan media yang mencakupi prinsip-prinsip yang ditetapkan mampu
mewujudkan pengajaran pembelajaran yang sangat berkesan. Walau bagaimanapun,
penggunaan media perlu juga mengambil kira kemudahan infra struktur,kos dan waktu
pengajaran.

1.3.5 Require Learner ( tindak balas pelajar.)

Apabila pengajaran pembelajaran berpusatkan murid yang dilaksanakan oleh guru,murid
melakukan kebanyakan kerjanya. Murid-murid menggunakan minda mereka untuk mengkaji
idea, menyelesaikan masalah, melahirkan perasaan dan menerapkan apa yang
dipelajarinya.Antara aktiviti yang melibatkan pelajar seperti simulasi,
perdebatan,perbincangan,projek, main peranan dan lain-lain lagi.

Konfusius pernah mengatakan :
“Apa yang saya dengar, saya lupa. Apa yang saya lihat,saya ingat.Apa yang saya buat, saya
faham.”
Mel Silberman(2004) pula memperkenalkan'Credo Pembelajaran Aktif' hasil pengubahsuaian
dan memperluas kebijaksanaan Konfusius iaitu :
“Apa yang saya dengar, saya lupa. Apa yang saya dengar dan lihat, saya ingat
sedikit.Apa yang saya dengar, lihat dan bertanyakan soalan tentangnya ataupun
membincangkannya dengan orang lain, saya mula memahaminya.Apa yang saya
dengar, lihat, bincang dan buat, saya memperolehi pengetahuan dan kemahiran. Apa
yang saya ajarkan kepada orang lain, saya menguasainya”
Kesimpulannya, pembelajaran berpusatkan murid menggalakkan pelajar untuk
memainkan peranan yang aktif dan merangsang minda pelajar. Contohnya pembelajaran
secara perbincangan mengenai etnik di Sabah.Murid-murid telah diberikan masa untuk mencari
maklumat daripada pelbagai sumber. Pada permulaan kelas, guru meminta beberapa orang
murid menyampaikan maklumat yang diperolehi.Bahan-bahan yang diperolehi itu dijadikan topik
perbincangan dalam kumpulan kecil dan kumpulan besar. Selepas perbincangan , wakil-wakil
kumpulan akan menyampaikan idea atau kesimpulan perbincangan yang akan dibincangkan
pula dalam kumpulan besar. Penyediaan media dan bahan sumber yang sesuai pula dapat
membantu dan mengekalkan penglibatan pelajar dalam proses belajar, Gambar foto, slaid
gambar bersiri, video dapat mencetuskan perbincangan dalam kumpulan, dapat menjana idea
dan juga menjalankan aktiviti penyelesaian masalah.
Rancangan pengajaran yang kreatif dan sistematik dan mampu melibatkan murid secara
aktif , mendorong ke arah mencapai objektif pembelajaran.Jelaslah di sini, rancangan harian
berpandukan Model ASSURE berupaya mendorong menghidupkan suasana kelas, sesetengah
aktiviti menyeronokkan dan memberikan pengalaman baru kepada murid.

1.3.6 Evaluate and Revise (menilai hasil pembelajaran dan menyemak semula bahan.)

Peringkat terakhir model ASSURE merupakan langkah yang penting.Penilaian
seharusnya dibuat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan
pemilihan objektif, media dan bahan sumber, penilaian pengajaran sesuai dengan keupayaan
pelajar. Di samping itu guru perlu merefleksi untuk menentukan sama ada elemen-elemen yang
digunakan sangat berkesan atau perlu diubah serta ditukar ganti dalam pengajaran masa akan
datang.Pengubahsuaian pula boleh dilakukan pada setiap aspek pengajaran seperti objektif,
penerapan nilai, isi pelajaran, strategi, sumber pengajaran pembelajaran dan sebagainya. Ia
dilakukan dengan tujuan agar pengajaran guru lebih berkesan dan pembelajaran murid dapat
ditingkatkan lagi.Ini bertepatan dengan saranan Yusup(2006):
a. Adakah objektif pembelajaran tercapai?
b. Adakah alat / media yang digunakan membantu proses pengajaran dan pembelajaran?
c. Adakah kesemua pelajar menggunakan alat/ bahan media dengan cara yang betul?
d. Adakah peluang pemerhatian individu diberi?
e. Adakah suasana pembelajaran selesa dan kondusif?
Penilaian boleh dilakukan sama ada penilaian formatif atau penilaian alternatif.Penilaian
perlu dibuat secara berterusan dan bersepadu serta menyeluruh disemua peringkat untuk
memberi gambaran sejauhmana keberkesanan media yang dipilih terhadap prestasi pelajar
serta bertepatan dengan objektif atau hasil pembelajaran yang dikehendaki (Heinich, 1982)

1.4 Kebaikan Model ASSURE

Terdapat beberapa kebaikan dalam menggunakan Model ASSURE ini iaitu:
a. Proses pengajaran menjadi lebih berkesan kerana pengajaran yang bersistematik.
b. Model ASSURE bukan hanya berpusatkan guru tetapi ia juga berpusatkan kepada
murid di mana murid aktif dalam menyertai pembelajaran dan dapat meningkatkan
kefahaman.
c. Guru lebih mahir dalam menggunakan alat berteknologi seperti komputer, kamera
digital, rakaman video dan sebagainya.
d. Hubungan di antara guru dan pelajar akan menjadi lebih rapat kerana model ASSURE
menitikberatkan guru mengenali latarbelakang murid termasuk latarbelakang sosio
ekonomi, kesediaan belajar dan gaya pembelajaran murid.
e. Penggunaan model ini akan menggalakkan para guru sentiasa menggunakan alat
bantu bahan mengajar (ABBM) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PnP).
f. Memastikan bahan media yang digunakan adalah sesuai dengan peringkat umur dan
persekitaran pelajar.
g. Aplikasi dalam model ini dalam pembelajaran mempunyai objektif yang jelas.
h. Pelajar juga akan tertarik dengan pengajaran guru.
i. Pembelajaran akan lebih berkesan dengan adanya bahan media yang sesuai semasa
pengajaran guru.

1.5 Kelemahan Model ASSURE

Terdapat beberapa kelemahan dalam menggunakan Model ASSURE ini iaitu:
a. Penyediaan bahan media dalam Reka Bentuk Pengajaran tidak bersesuaian dengan
analisis pelajaran.
b. Kemudahan alatan teknologi yang kurang dan tidak lengkap.
c. Guru kurang kreatif dalam menyediakan reka bentuk pengajaran yang bersesuaian
dengan analisis pelajaran.
d. Guru terpaksa menggunakan banyak tenaga dan usaha untuk menyediakan, meneliti dan
menyemak semula bahan pengajaran sebelum menggunakannya.

1.6 Kesimpulan

Model ASSURE dapat membantu guru merancang pengajaran yang dapat
memanfaatkan penggunaan media di dalam bilik darjah masing-masing. Oleh sebab itu,
dengan perancangan yang sistematik dan penuh ketelitian, guru akan dapat mencapai
kompetensi dalam pengajaran, manakala murid pula memperoleh pengetahuan, kemahiran dan
sikap yang diharapkan.
Dengan melibatkan murid secara optimum,murid belajar menggunakan maklumat untuk
menyelesaikan masalah dan mereka melaksanakannya secara berinteraksi dengan guru,
rakan sebaya, media dan bahan sumber.
Semua elemen dalam Modul ASSURE saling berkaitan dan semestinya diberikan
perhatian oleh guru untuk merancang pengajaran supaya matlamat utama yang diharapkan dari
pengajaran tersebut akan tercapai.Sesungguhnya, keenam-enam langkah yang terdapat dalam
model ASSURE adalah sangat penting bagi dijalankan oleh guru dalam setiap pengajaran
hariannya didalam kelas. Kesimpulannya, penggunaan model reka bentuk pengajaran ASSURE
adalah lebih baik berbanding model-model yang lain kerana ianya lebih lengkap dan
bersistematik.


RUJUKAN
Azman Wan Chik-Editor(1985),Mengajar Bahasa Malaysia Jilid 2: Latihan Guru dan
Bahan.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka..
Chin Yoon Poh.(2009)Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.Kuala Lumpur:Kumpulan
Budiman.
Ee Ah Meng (1991),Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu.Petaling Jaya:Penerbit Fajar Bakti.
Ee Ah Meng.(1999).Psikologi Pendidikan.Edisi Kedua.Kuala Lumpur:Penerbit Fajar Bakti.
Esah Sulaiman (2003), Modul Pengajaran : Asas Pedagogi. Skudai: Jabatan Asas
Pendidikan , Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia
Fatimah Bt Hj Daud.(2003)Modul Pembelajaran Kursus Bestari.Jabatan Pengajian
Melayu,Maktab Perguruan Kota Bharu.
Juriah Long,Raminah Hj Sabran, Sofia Hamid.(1990),Perkaedahan Pengajaran Bahasa
Malaysia.Petaling Jaya:Penerbit Fajar Bakti.
Mel Silberman.(2009)Pembelajaran Aktif:101 Strategi Untuk Mengajar Apa Jua Subjek.Kuala
Lumpur:Institut Terjemahan Negara Malaysia.
Yusuf Hashim.(1997),Media Pengajaran Untuk Pendidikan dan Latihan.Shah Alam:Penerbit
Fajar Bakti

No comments: